Monday, September 12, 2011

Menjadikan diri kita paling diingati

"Insyaallah. Insyaallah. Insyaallah. Your find your way." Nada dering Maher Zain memecah kesunyian. Saya menjawab panggilan.
"Assalamualaikum. Boleh saya bercakap dengan Tuan Yusry." Suara daripada telefon membuka bicara.
"Yusry bercakap. Boleh saya bantu?"
Suara itu meneruskan perbualan," Saya Hamid. Peserta bengkel penulisan tuan di Bangi tempohari."
"Hamid yang mana ya?" Kerut dahi saya cuba mengingati setiap peserta yang hadir ke bengkel itu. Hampir 50 orang kesemuanya.
"Hamid yang membuat persembahan silap mata kad pada hari itu."

Ah-ha! Benak saya segera teringat sesosok tubuh lelaki kacak yang menunjukkan aksi silap matanya pada saya semasa memperkenalkan diri. Wajahnya sentiasa akan saya ingati. Kerana apa? Sudah tentu kerana dia memperkenalkan diri dengan cara yang luar daripada kebiasaan.

Minda manusia. Menjadi peka dengan ransangan. Ransangan bukan oleh perkara yang biasa. Ransangan berlaku apabila kita melalui pengalaman yang luar daripada kebiasaan. Seperti mana lelaki itu. Saya akan sentiasa mengingatinya oleh kerana luar biasa cara memperkenalkan dirinya kepada saya. Lalu, seperti biasa 49 peserta yang lain saya hanya akan ingat-ingat lupa. Kerana mereka memperkenalkan diri dengan cara biasa. Cara yang menyebabkan minda saya tidak mencatatkannya sebagai acara yang besar.

Lalu, di sini tentu timbul satu persoalan. Bagaimana kita mahu menjadikan diri kita sentiasa diingati? Melakukan sesuatu yang di luar kebiasaan. Pada sesetengah orang, ia adalah kegilaan.

Saya pernah melakukan kerja gila. Masa itu saya berkenalan dengan seorang pelajar universiti. Selepas kami berkenalan ringkas bertanya nama, asal dan berkaitan pengajian beliau, saya mengeluarkan gula-gula Kopiko. Lalu, saya katakan,"Semoga persahabatan yang akan terjalin adalah semanis dan sepahit gula-gula Kopiko." Pelajar itu kehairanan lalu bertanya, "Mengapa semanis dan sepahit gula-gula Kopiko?"

Saya menguntum senyum,"Kerana, begitulah kehidupan. Ia kadang kala manis, kadang kala pahit. Namun, kepahitan itu juga salah satu daripada kesedapan. Begitulah hubungan. Mungkin dalam sepanjang perkenalan kita di dunia ini kita akan tersasul atau tersilap kata. Tapi itulah kemanisan perhubungan. Apabila teruji."

No comments:

Post a Comment