Monday, September 12, 2011

Memberi Pengajaran Sehingga Jelas

"Diriwayatkan dari Ibn 'Abbas r.a: Pada suatu hari Rasulullah keluar disertai Bilal. Baginda menghampiri sekelompok wanita yang berfikir bahawa mereka tidak dapat mendengar pembicaraannya. Maka Nabi memberi mereka nasihat dan perintah mengeluarkan sedekah; sebahagian mendermakan anting-antingnya, sebahagian mendermakan cincin-cincin, dan Bilal mengumpulkan dengan hujung pakaiannya."

(Muhktasar Shahih Bukhari)

Sebagai naqib, jika kita mendapati ada dikalangan anak usrah kita yang masih tidak jelas atau tidak memahami apa yang kita ajar. Maka sebaik-baiknya kita cuba menjelaskan sehingga apa yang diajar bukan setakat kata-kata, tetapi menjadi ilmu yang difahami. Ilmu yang jelas lagi difahami menghasilkan natijah yang baik. Ilmu yang berbekas akan menjadi bekalan hidup kepada anak usrah sepanjang hidupnya.

Hadis di atas menunjukkan betapa Rasulullah sebagai Guru yang Agung memberi contoh bagaimana sepatutnya kita berinteraksi dengan pelajar. Jika ada yang tidak jelas atau butir kata yang tidak difahami maka sebagai guru kita perlu berusaha bersungguh dalam memastikan memastikan suatu pelajaran itu benar-benar difahami. Usaha Rasulullah terbukti memberi kesan. Wanita-wanita yang diberi perhatian khusus ini akhirnya bertindak kerana terkesan dengan ilmu yang diajar.

Sebagai Naqib, pada saya kita jangan hanya mengharapkan anak usrah sahaja yang bersungguh-sungguh dalam menimba ilmu. Malahan kita juga perlu bersungguh-sungguh dalam memberikan ilmu. Di kala melihat ada anak usrah kita yang tertinggal. Kita tidak berputus asa mendorong dan mendorong sehingga mereka berjaya atau menjadi insan yang lebih baik sekurang-kurangnya dalam pengetahuan asas Islam.

Banyak teori yang diajar kepada para pengajar dalam memastikan mereka dapat menggunakan teori itu dalam berinteraksi dalam kepelbagaian pelajar. Namun, jangan dilupa bahawa melalui hadis kita dapat belajar bagaimana multi dimensinya pendekatan Rasulullah dalam berinteraksi dengan kepelbagaian gaya belajar para sahabat. Itulah tauladan yang terbaik. Semua yang dididik baginda menjadi sebaik-baik manusia yang dalam masa yang saya mampu mendidik manusia lain ke arah kebaikan.

Sampai sini sahaja dahulu. Kepada para naqib. Selamat mentarbiyyah. InsyaAllah tidak akan dikurangi pahala walaupun sedikit jika saudara ikhlas dan bersungguh dalam mendidik. Luangkan masa dalam mengkaji hadis-hadis nabi. Lihatlah betapa hebatnya nabi kita memberi pengajaran sehingga orang yang kurang daya fikirnya turut terkesan dengan didikan baginda.

AU3, Hulu Klang

No comments:

Post a Comment