Tuesday, September 20, 2011

Bagaimana Berfikir Strategik dalam Perancangan Tarbiyyah

Usrah, bukanlah satu aktiviti kecil yang memberikan impak yang biasa-biasa. Saya boleh mengatakan usrah adalah aktiviti kecil yang menanam impak yang besar, malah mungkin mempengaruhi hidup seseorang. Boleh jadi seseorang yang datang usrah atas tujuan bersuka-suka pada awalnya. Akhirnya membuat keputusan yang paling penting, meluruskan semula objektif hidupnya. Tetap teguh dalam perjuangan Islam.

Naqib yang menerima amanah menjaga anak-anak usrah. Jangan hanya melihatnya sebagai amanah tahunan. Ia perlu dilihat sebagai amanah yang berterusan. Dalam memastikan amanah ini berjalan dengan lancar, pemikiran strategik amat diperlukan. Bukan kerana apa, jika pihak kuffar menjalankan agendanya dengan cukup tersusun dan strategik. Kita perlu lebih lagi, dalam memastikan kelansungan perjungan islam tidak terputus, akibat kepupusan aktivis dakwah.

Saya sertakan di bawah soalan-soalan yang mungkin mampu menjentik minda kita bagi berfikir lebih besar. Semoga ia bermanfaat. Bermanfaat dalam menjadikan kita berfikir besar, berfikir hebat dalam tarbiyyah kita. Selamat mencuba!

Bob Biehl, penulis buku Masterplanning menulis soalan-soalan bagi memaksa kita melakukan proses pemikiran strategik.
  • Halatuju: Apakah yang patut kita lakukan seterusnya? Mengapa?
  • Organisasi: Siapakah yang bertanggungjawab kepada apa? Siapakah yang menjawab kepada siapa? Adakah kita memiliki orang yang betul di semua tempat yang betul?
  • Wang: Apakah anggaran pendapatan dan kos kasar dan bersih? Adakah kita mampu membayarnya? Bagaimanakah kita dapat membiyainya?
  • Tracking: Adakah kita mampu mencapai sasaran?
  • Overall Evaluation: Adakah kita berjaya mencapai kualiti dimahukan?
  • Refinement: Bagaimanakah kita dapat menjadi lebih efektif dan efisien?

Kreativiti dalam Tarbiyyah

Sifat Orang Berfikiran Kreatif
  • Orang kreatif menghargai idea
  • Orang kreatif suka memiliki pilihan
  • Orang kreatif suka akan ketidakpastian
  • Orang kreatif meraikan yang aneh
  • Orang kreatif mampu menghubungkan perkara tidak berkaitan
  • Orang kreatif tidak takut gagal

Tuesday, September 13, 2011

Ulasan Buku Cadangan Usrah: Make Today Count


Mengurus Keutamaan (Prioriti)

John C. Maxwell, dalam bukunya 'Make Today Count' menceritakan mengenai prioriti (menetapkan keutamaan). Beliau menceritakan satu pengalaman 'lucu' pada saat awal beliau mahu mengamalkan sikap mengutamakan yang utama.

Katanya, isteri beliau meminta tolong untuk memotong rumput di halaman rumah mereka, namun beliau mempersoalkan, "Margaret, saya tidak mahu membuang masa saya dengan perkara seperti itu. Saya mahu memfokuskan tenaga saya. Kita boleh mengupah orang lain bagi melakukannya."

Lantas Margaret menjawab, "Kita mahu upah dengan apa?"

Akhirnya mereka berdua juga bersama-sama membersihkan halaman rumah itu.

Namun kata beliau, semenjak hari itu, beliau sentiasa berusaha untuk memfokus pada perkara-perkara yang penting sahaja tanpa terganggu dengan perkara-perkara yang remeh.

Kata beliau, kita perlu utamakan yang utama dan menyerahkan hal-hal lain kepada orang lain (delegasi tugas), agar kita dapat mencapai sesuatu sasaran dan melaksanakan tugas dengan lebih optimum. Maksudnya, kita akan lebih fokus.

Buku ini boleh dibeli di mana-mana kedai buku utama, terbitan PTS Pro, iaitu versi terjemahan Bahasa Melayu. Buku ini ringkas tetapi padat. Ia mengenai 12 lapangan perkara (bidang) yang perlu kita titik beratkan dalam hidup, iaitu:

1. Sikap
2. Prioriti
3. Kesihatan
4. Keluarga
5. Berfikir
6. Komitmen
7. Kewangan
8. Agama
9. Persahabatan
10. Kebajikan
11. Prinsip-Prinsip
12. Perkembangan Peribadi

Pada permulaan buku ini, penulis memberikan sebuah formula berikut:

Keputusan yang tepat + Disiplin Harian = Hasil potensi yang hebat

P/S: Saya doakan penterjemah buku ini iaitu Allahyarham Adlie Syamsudin, ditempatkan bersama orang-orang soleh di alam sana. Setiap huruf yang saya baca, semoga pahala untuknya di sana. Amiinnn..


- Mohd Zulfadli - Pengulas buku ini boleh dihubungi di https://www.facebook.com/mohdzulfadli

Berlemah Lembutlah dalam Dakwah Kita.


Seorang mendatangi Ma'mun dan Ma'mun adalah seorang khalifah yang cerdas dan paling cerdik pada zamannya, akan tetapi dia mengatakan Al-Qur'an adalah makhluk, dan Allah akan menghitungnya.

Orang tersebut berkata: "Wahai Amirul Mukminin, sesungguhnya aku ingin memberi nasihat, akan tetapi aku akan bersikap keras kepadamu! Ma'mun menjawab: "Demi Allah, aku tidak akan mendengar mu, demi Allah aku tidak akan mendengar mu, demi Allah aku tidak akan mendengar mu." Orang itu berkata lagi, "Mengapa?" Khalifah menjawab: "Allah telah mengirimkan orang yang lebih baik dari mu kepada orang yang lebih buruk dari ku."
Allah s.w.t berfirman: "Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan ia ingat atau takut." (Thaha: 44)

Saya sungguh kagum kepada sahabat-sahabat yang cukup bersemangat dalam islah dan dakwah yang mereka lakukan. Tidak lain dan tidak bukan, ia adalah kerana kesedaran sahabat-sahabat untuk memastikan tiada setiap inci bumi yang sunyi daripada dakwah kepada agama ALLAH ini. Ada sesetengahnya yang berdakwah secara lemah lembut dan ada juga yang berdakwah dengan tangan itu lebih cepat daripada kata-kata.

Dakwah adalah satu seni yang memerlukan kita menggunakan apa sahaja di sekeliling kita lalu dicorak penyampaian agar dapat membantu dalam menyentuh hati manusia-manusia yang kita dakwah. Seni dakwah setiap orang cukup berbeza. Namun pada pandangan saya yang sebaik-baiknya apabila kita memulakan dakwah kita kepada seseorang maka lemah-lembut adalah kaedah yang terbaik. Yang mana kita mendekati orang yang kita ingin dakwahkan dengan senyuman yang cukup manis.

Saya tertarik dengan satu kata-kata "Senyuman adalah sihir", jika senyuman diberi dengan penuh keikhlasan, manalah tahu ia mencairkan hati-hati yang jauh dari Allah lalu membawanya pulang kembali ke jalan kebenaran.

Terdapat di kalangan mereka yang kasar di dalam dakwah mereka, kononnya kerana jika hati itu tidak diketuk dengan keras atau tangan tidak sampai dulu ke muka, maka mereka-mereka yang jauh dari agama Allah ini tidak akan sedar. Lebih-lebih lagi kepada golongan pemerintah yang jauh dari agama Allah. Mungkin betul pada satu sudut.

Lalu, saya kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah untuk melihat bagaimana Rasul-Rasul terdahulu berdakwah. Mungkin ada cara dakwah yang keras boleh saya gunakan dalam dakwah saya. Namun, tidak saya temui kisah yang menunjukkan Rasul-rasul dan Muhammad sendiri bersikap keras kepada orang yang didakwah selagi mana mereka tidak menghalangi jalan dakwah. Yang saya kerap temui adalah, Rasulullah selalu menahan sahabat-sahabat dari melakukan kekerasan kepada orang yang didakwah.

Wahai sahabat-sahabatku yang sama-sama terlibat dalam usaha dakwah dan islah. Saya ingin menyeru agar kita sama-sama dapat melenturkan lagi kaedah kita berdakwah. Bersikap baiklah kepada orang yang kita dakwah. Memang kita akan teruji dengan karektor-karektor yang menyakitkan hati kita. Tetapi, Muhamad Rasulullah lebih dasyat lagi menerima ujian yang pelbagai.

Tetapi, kita termasuklah penulis blog ini pun kadangkala tidak sabar dalam usaha dakwah yang dilakukan. Mungkin kerana darah muda. Namun kita sebagai pendakwah perlulah selalu mengkoreksi diri agar kita-kita dapat memperbaiki diri dan skill dakwah kita. Yang lebih penting, janganlah lupa mendoakan mereka, janganlah mengumpat mereka, tetapi mintalah pendakwah lain juga bersama-sama mendoakan. Semoga, dengan izin Allah orang itu akan berubah dan menjadi lebih baik dari kita dan lebih kencang dakwahnya.

Semoga penulisan yang penuh kekurangan ini dapat memberi manfaat kepada pembacanya, kerana ia sekadar cetusan rasa dari hamba Allah yang serba kekurangan ini. Sahabat-sahabat semua harap dapat doakan saya agar tetap kuat dan tahan dalam pelajaran yang saya lalui sekarang untuk menjadi seorang pendakwah. Kerana meminjam kata-kata pembaca blog saya, Chee Hong “saya Budak Baru Belajar”

Latihan meningkatkan esteem diri.

Kita sebagai naqib kadangkala terpaksa memainkan peranan sebagai motivator tidak bergaji. Sebagai manusia ada masanya kita akan diuji dengan pelbagai jenis ujian menyebabkan kita berasa tertekan atau esteem diri kita menjadi rendah. Hal ini tidak boleh kita biarkan. Sesuatu perlu kita lakukan agar esteem diri anak usrah kita sentiasa berada dalam tahap yang tertinggi.

Bagaimana kita boleh membantu dalam meningkatkan esteem diri anak-anak usrah di bawah tanggungjawab kita?

Dalam satu uji kaji, seramai 60 orang eksekutif mengikuti program latihan memahami keistemewaan dan pencapaian peribadi selama sebulan. Dalam program ini setiap hari, bagi beberapa minit sahaja, mereka digalakkan mencatatkan pencapaian mereka pada hari itu. Hasilnya, konsep diri mereka menjadi lebih positif.

Satu latihan meningkatkan esteem diri secara berkumpulan sudah dicipta dan kini popular dikalangan organisasi. Naqib perlu menerapkan juga latihan ini bagi memastikan usrah bukan lagi hanya satu kumpulan ilmu semata-mata. Malahan ia berperanan sebagai kumpulan sokongan esteem diri.

Latihan dilakukan begini:

Buat kumpulan antara 5 hingga 10 orang. Mula-mula setiap orang menulis senarai kelebihan dan keistimewaan diri masing-masing, kemudian masing-masing membacakan senarainya supaya didengar oleh anggota-anggota lain. Selepas itu, secara bergilir-gilir, setiap orang membincangkan apa yang dibacakan oleh orang lain sebagai cara memperkukuhkan lagi konsep diri anggota itu. Tetapi ada kalanya senarai itu tidak dipersetujui sepenuhnya.

Lakukan aktiviti ini dipermulaan atau dipenghujung usrah. Jika kumpulan usrah mampu menaikkan esteem diri anggotanya. Sudah tentu gejala ponteng usrah akan berkurangan. Insya-Allah.


Disesuaikan daripada maklumat daripada buku 11 Teori dan Prinsip Motivasi di Tempat Kerja.

Monday, September 12, 2011

Naqib sebagai satu amanah

Tugasan atau amanah yang kamu pikul ini bukanlah hanya memberikan ilmu semata-mata. Ia bukan juga hanya untuk menjadikan mereka insan yang baik lagi bersopan semata-mata. Kamu bukanlah perlu membetulkan kesalahan, mencari kesalahan atau membetulkan anak usrah dengan kasar. Tugas kamu adalah bagi memastikan menjadikan anak usrah lebih baik dari dirinya sebelum ini dan bermotivasi menarik orang lain turut sama berbuat kebaikan.

Menjadi Naqib menuntut diri anda menjadi seorang pendengar setia, pencabar diri mereka dan bersama-sama berkongsi satu pelajaran bermakna. Seorang Naqib yang baik adalah seorang yang positif, bersemangat, penyokong setia, boleh dipercayai, dihormati dan penyabar. Ia bukanlah bermaksud kamu mesra dengan mereka sehingga mereka boleh memijak kami atau bergurau secara keterlaluan dengan kamu. Kamu masih dihormati dan dijadikan contoh ikutan mereka.


Bagi memimpin adik-adik ini, kamu perlu memimpin mereka, melayan mereka dan memenuhi kehendak mereka. Ia bukan bermaksud anda perlu memberi wang kepada mereka, bahkan kamu memberikan mereka sesuatu yang tidak ternilai. Menanam aqidah yang benar kepada mereka, menjadikan mereka seronok beribadah, mengubah pandangan mereka agar selari dengan kerangka islam. Sesuatu yang tidak ternilai. Tidak dapat dinilai dengan apa sahaja yang lebih berharga.


Menjadi seorang yang suportif bermaksud lebih daripada sekadar memotivasikan atau menepuk belakang mereka. Sebagai naqib, tugas anda menyediakan satu ruang untuk menarik minat mereka belajar, mengkaji, berfikir, menganalisis dan melontarkan pandangan. Memberikan material yang berguna agar dapat membentuk kefahaman dan memberi ilmu kepada mereka.

Sistem Checklist: Memudahkan Fokus

Memasuki alam pekerjaan membuatkan kita mudah hilang fokus.Mungkin kita sedang mengusahakan sesuatu yang penting dan segera.

Namun, oleh kerana tidak fokus dan sering menerima atau menjemput gangguan maka kerja yang dibuat tidak dapat dibuat sehabis baik atau disiapkan.Bagi memudahkan kerja, saya mewajibkan sistem checklist ke atas diri saya.

Checklist yang disediakan memerlukan kita bermula dengan matlamat besar yang ingin kita capai.
Checklist bukanlah satu sistem yang terus difikirkan dan disenaraikan.

Lalu aktiviti-aktiviti kecil itu disusun dalam jadual bulanan atau mingguan. Matlamat itu dipecahkan kepada siri-siri aktiviti kecil yang perlu dibuat bagi memastikan apa yang dirancang menjadi kenyataan.

Jadi checklist yang saya lakukan hari ini, bukanlah checlist yang bersifat segera dan penting sahaja, malahan saya turut melakukan perkara yang tidak segera dan penting.

Ini bagi mengelakkan berlakunya, kesesakan di saat akhir atau last minute.

Melakukan perkara ini memerlukan kesabaran dan ketelitian. Bagi memastikan apa dirancang menjadi kenyataan.

Menjadikan diri kita paling diingati

"Insyaallah. Insyaallah. Insyaallah. Your find your way." Nada dering Maher Zain memecah kesunyian. Saya menjawab panggilan.
"Assalamualaikum. Boleh saya bercakap dengan Tuan Yusry." Suara daripada telefon membuka bicara.
"Yusry bercakap. Boleh saya bantu?"
Suara itu meneruskan perbualan," Saya Hamid. Peserta bengkel penulisan tuan di Bangi tempohari."
"Hamid yang mana ya?" Kerut dahi saya cuba mengingati setiap peserta yang hadir ke bengkel itu. Hampir 50 orang kesemuanya.
"Hamid yang membuat persembahan silap mata kad pada hari itu."

Ah-ha! Benak saya segera teringat sesosok tubuh lelaki kacak yang menunjukkan aksi silap matanya pada saya semasa memperkenalkan diri. Wajahnya sentiasa akan saya ingati. Kerana apa? Sudah tentu kerana dia memperkenalkan diri dengan cara yang luar daripada kebiasaan.

Minda manusia. Menjadi peka dengan ransangan. Ransangan bukan oleh perkara yang biasa. Ransangan berlaku apabila kita melalui pengalaman yang luar daripada kebiasaan. Seperti mana lelaki itu. Saya akan sentiasa mengingatinya oleh kerana luar biasa cara memperkenalkan dirinya kepada saya. Lalu, seperti biasa 49 peserta yang lain saya hanya akan ingat-ingat lupa. Kerana mereka memperkenalkan diri dengan cara biasa. Cara yang menyebabkan minda saya tidak mencatatkannya sebagai acara yang besar.

Lalu, di sini tentu timbul satu persoalan. Bagaimana kita mahu menjadikan diri kita sentiasa diingati? Melakukan sesuatu yang di luar kebiasaan. Pada sesetengah orang, ia adalah kegilaan.

Saya pernah melakukan kerja gila. Masa itu saya berkenalan dengan seorang pelajar universiti. Selepas kami berkenalan ringkas bertanya nama, asal dan berkaitan pengajian beliau, saya mengeluarkan gula-gula Kopiko. Lalu, saya katakan,"Semoga persahabatan yang akan terjalin adalah semanis dan sepahit gula-gula Kopiko." Pelajar itu kehairanan lalu bertanya, "Mengapa semanis dan sepahit gula-gula Kopiko?"

Saya menguntum senyum,"Kerana, begitulah kehidupan. Ia kadang kala manis, kadang kala pahit. Namun, kepahitan itu juga salah satu daripada kesedapan. Begitulah hubungan. Mungkin dalam sepanjang perkenalan kita di dunia ini kita akan tersasul atau tersilap kata. Tapi itulah kemanisan perhubungan. Apabila teruji."

Pengalaman Berusrah (1)

Tidak dapat dinafikan, berapa besar kesan usrah kepada kehidupan saya. Tanpanya, sudah tentu saya sudah jauh daripada lapangan dakwah ini. Saya masih ingat. Apabila saya tiba di matrikulasi betapa saya sangat teruja dengan aktiviti yang dinamakan usrah. Usrah ini yang membentuk fikrah, semangat untuk berjuang bahkan keterujaan berdakwah kepada masyarakat.

Saya semakin bersemangat apabila didedahkan dengan pelbagai jenis pemikiran tokoh gerakan Islam. Sama ada di peringkat nasional mahupun antarabangsa. Pemikiran mereka mendominasi setiap idea dan memberi satu sudut pandang baru mengenai Islam yang saya lihat sangat luas horizonnya. Setiap petikan kata menjadi azimat dalam melalui perjuangan dan jalan dakwah yang amat panjang.

Saya bukan insan yang ditarbiyah daripada sekolah. Pemahaman Islam sebelum itu hanya setakat pemahaman dalam silibus Pendidikan Islam. Kemasukan ke Universiti dan pendedahan kepada usrah menjadi satu kejutan budaya pada awalnya. Namun, ilmu Islam yang didedahkan menjadi saya semakin haus, haus akan lautan ilmu Islam. Sahabat yang pelbagi latarbelakang dalam kumpulan usrah menjadi salah satu sumber ilmu saya yang masih dangkal ketika itu.

Kumpulan usrah menjadi satu kenangan terindah. Andai kata terdapat mesin masa yang mampu membawa ke masa itu. Saya mahu biarkan masa terindah itu kekal selama-lamanya. Tetapi, ia hanya satu angan-angan yang tidak akan terpenuh.

Bagi pembaca yang baru memulakan usrah yang pertama. Semoga saudara bersedia menempuh pengalaman berharga. Pengalaman yang akan menjadi bekal saudara sepanjang hayat. Agar sentiasa tetap kukuh dalam jalan dakwah yang saudara pilih.

Selamat berusrah!

Berhubung (Connecting)

Berhubung satu-satu (one-on-one)

Berhubung dengan seorang yang lain (one-on-one) adalah lebih penting daripada berhubung dalam kumpulan yang besar.
Mengapa? Ini adalah kerana 80% hingga 90% hubungan ini berlaku pada tahap ini, di sinilah tahap kita berhubung dengan orang yang paling kita sayangi atau penting bagi kita.
Sebaik mana kita berhubung dengan sahabat, ahli keluarga, rakan sekerja dan pekerja di bawah selian kita?

Bagi meningkatkan pengaruh kita dalam hubungan one-on-one, cuba lakukan perkara berikut:
  • Bercakap lebih banyak tentang orang lain berbanding diri kita. Sediakan dua tiga soalan yang boleh ditanyakan kepada seseorang sebelum sesuatu program atau perhimpunan sosial.
  • Bawa sesuatu yang berharga, mungkin kata-kata hikmah, cerita, buku, atau cd, untuk diberikan kepada seseorang yang kita jumpa.
  • Di akhir pertemuan, tanyakan apa yang kita boleh bantu mereka. Memberikan bantuan bukan hanya bersifat material, malahan nasihat dan pendapat adalah satu bantuan. Pertolongan yang diberikan menjadi impak yang besar berbanding kata-kata yang kita bualkan.


Berhubung (Connecting) dalam kumpulan.

Bagi berhubung dalam kumpulan, kita perlu mengambil inisiatif dengan orang-orang dalam kumpulan kita. Untuk melakukannya lakukan perkara berikut:
  • Kenalpasti cara untuk memberikan pujian kepada ahli kumpulan bagi idea dan tindakan yang merka lakukan. Puji idea dan tindakannya, bukan orangnya.
  • Kenalpasti cara bagi menambah nilai kepada ahli kumpulan kita dan apa yang mereka lakukan.
  • Jangan mengambil kredit apabila kumpulan berjaya, jangan menyalahkan ahli kumpulan apabila gagal.
  • Kenalpasti cara untuk membantu kumpulan meraikan sesuatu kejayaan bersama-sama.
Disesuaikan daripada buku 'Everyone Communicate, Few Connect'

Bagaimana Mahu Berdakwah???



Dakwah mudah untuk diperkata, namun bukan mudah untuk terlaksana.. namun kesusahan dalam dakwah tu lah menjadi ujian wajib diri kepada para da'i yang ingin menarik manusia kembali kepada agama Allah yang diredhai ini.. Bila bercakap tentang dakwah kan saya suka mengatakan kita menarik sahabat kita yang jauh dari Islam kembali kepada kehidupan Islam, dan menarik mereka yang BELUM ISLAM menerima ISLAM sebagai cara hidup mereka :-D

Dalam dakwah perlu ada tahapan. Tidak boleh terus menyerbu menyampaikan apa yang kita ingin sampaikan.

Pada saya ia terbahagi kepada 8 tahap dalam dakwah (fokus non-muslim):


Tahap 1 - Kenal2

*Berkenalan la dengan orang yang kita nak dakwah tu. Tanpa kita kenal dia dan dia tak kenal kita macam mana la kita nak dakwah pada dia. Kat Makkah kan, Rasulullah dulu dakwah kat orang2 yang Nabi kenal dulu. Sebab apa kan. Orang yang kita kenal dan kenal kita lagi senang nak bawak bincang. Tapi ada org kata. "Susah la nak dakwah kat orang yang kita kenal". Pada saya kan. Tu maknanya kita betul2 tak sayang kawan2 kita. Sebab kita sanggup biarkan dia dalam kekufuran.


Tahap 2 - Faham2 la

*Cuba memahami siapakah orang yang kita cuba dakwahkan tu. Kadang-kadang kita tak nak cuba nak meamahami orang. Bila memahami orang yang kita nak dakwah baru kita boleh fikirkan macam mana cara terbaik nak dakwah kepada dia.


Tahap 3 - Sedar2kan la

*Terdapat dikalangan non-muslim yang x tahu kepentingan agama. Kita perlu menyedarkan mereka. Jadi kita perlu menggunakan pendekatan yang sesuai bagi meyakinkan mereka apakah tujuan hidup manusia dan tujuan penciptaan mereka. Terdapat banyak bukti yang menunjukkan kewujudan pencipta. Terdapat banyak sekarang yang mula mengiyakan kewujudan tuhan namun mereka tidak pasti Tuhan manakah yang benar-benar layak disembah :-D


Tahap 4 - Apa yang kamu faham tentang Islam?

*Cuba tanya apakah yang mereka tahu tentang Islam. Apakah pendapat mereka tentang orang Islam? Apakah isu-isu yang mereka tidak paus hati tentang Islam. Kumpulkan dulu segala perkara-perkara berikut. walaupun mungkin ada kritikan keras terhdapa Islam.. Sabar dulu la. Jangan terus marah pulak kawan kita tu.


Tahap 5 - Pecah Salah tanggapan

*Soalan-soalan yang dikumpulkan perlulah dijawab. Sama ada kita sendiri mencari jawapan atau meminta bantuan rakan kita unutk menjawab salah tanggapan tentang Islam. Dr. Zakir Naik telah menerbitkan buku berkaitan salah tanggapan tentang Islam yang amat membantu para pendakwah membersihkan imej Islam yang disalah faham. Pembersihan ini amat penting sebelum kita menceritakan tentang Islam yang diajar oleh Allah dan RasulNya tanap penambahan mahupun pengurangan. Kita perlu menjawab segala persoalan yang mereka salah faham.


Tahap 6 - Presenting Islam

*Present Islam dengan sesimple mungkin berkaitan dengan Rukun Iman dan Rukun Islam. Tekankan lebih-lebih lagi berkaitan keesaan Allah, Kerasulan Muhammad. Jika mereka boleh menerimanya. InsyaAllah jika keimanan mula bercambah maka perkara-perkara lain akan mudah diterima. Terdapat buku yang baik berkaitan presenting Islam contohnya WHAT ISLAM IS ALL ABOUT? dan THE COMPLETE IDIOT GUIDE UNDERSTANDING ISLAM oleh yahiya emerick. Buku yang cukup baik macam mana kita boleh present Islam dengan cara yang mudah :-D


Tahap 7 - Jom la masuk Islam!

*Apabila segalanya telah dibuat. Kefahaman terhadap Islam terhadap diberi. Dan non-muslim mula menunjukkan minat terhadap Islam. Kerap tanya kepada dia "Bila nak masuk Islam?". Ceritakan tentang ganjaran yang Allah akan berikan kepadanya apabila mereka masuk Islam. Ceritakan tentang amal kebaikan sebelum-sebelum ini akan diberi ganjaran yang besar oleh Allah. Dosa-dosa mereka diampunkan umpama bayi yang baru lahir. Banyak kan memberi motivasi.


Tahap 8 - Berdoa kepada Allah

*Banyak dikalangan pendakwah selalu lupa melakukan perkara yang paling penting. Mereka lupa mendoakan orang yang mereka dakwah. Sabahat-sahabat semua, hidayah milik Allah maka doa lah kepada Allah semoga memberi hidayah kepada rakan kita. jangan ptutus asa jika dakwah anda lambat memberikan hasil. dakwah Rasulullah ada yang masuk Islam selepas kewafatannya. Jadi jangan la risau teruskan berdakwah dan jangan putus2 berdoa.

Okla. sikit penulisan dari saya. maaflah jika kurang teratur. Jom kita wat Dakwah!!!

Memberi Pengajaran Sehingga Jelas

"Diriwayatkan dari Ibn 'Abbas r.a: Pada suatu hari Rasulullah keluar disertai Bilal. Baginda menghampiri sekelompok wanita yang berfikir bahawa mereka tidak dapat mendengar pembicaraannya. Maka Nabi memberi mereka nasihat dan perintah mengeluarkan sedekah; sebahagian mendermakan anting-antingnya, sebahagian mendermakan cincin-cincin, dan Bilal mengumpulkan dengan hujung pakaiannya."

(Muhktasar Shahih Bukhari)

Sebagai naqib, jika kita mendapati ada dikalangan anak usrah kita yang masih tidak jelas atau tidak memahami apa yang kita ajar. Maka sebaik-baiknya kita cuba menjelaskan sehingga apa yang diajar bukan setakat kata-kata, tetapi menjadi ilmu yang difahami. Ilmu yang jelas lagi difahami menghasilkan natijah yang baik. Ilmu yang berbekas akan menjadi bekalan hidup kepada anak usrah sepanjang hidupnya.

Hadis di atas menunjukkan betapa Rasulullah sebagai Guru yang Agung memberi contoh bagaimana sepatutnya kita berinteraksi dengan pelajar. Jika ada yang tidak jelas atau butir kata yang tidak difahami maka sebagai guru kita perlu berusaha bersungguh dalam memastikan memastikan suatu pelajaran itu benar-benar difahami. Usaha Rasulullah terbukti memberi kesan. Wanita-wanita yang diberi perhatian khusus ini akhirnya bertindak kerana terkesan dengan ilmu yang diajar.

Sebagai Naqib, pada saya kita jangan hanya mengharapkan anak usrah sahaja yang bersungguh-sungguh dalam menimba ilmu. Malahan kita juga perlu bersungguh-sungguh dalam memberikan ilmu. Di kala melihat ada anak usrah kita yang tertinggal. Kita tidak berputus asa mendorong dan mendorong sehingga mereka berjaya atau menjadi insan yang lebih baik sekurang-kurangnya dalam pengetahuan asas Islam.

Banyak teori yang diajar kepada para pengajar dalam memastikan mereka dapat menggunakan teori itu dalam berinteraksi dalam kepelbagaian pelajar. Namun, jangan dilupa bahawa melalui hadis kita dapat belajar bagaimana multi dimensinya pendekatan Rasulullah dalam berinteraksi dengan kepelbagaian gaya belajar para sahabat. Itulah tauladan yang terbaik. Semua yang dididik baginda menjadi sebaik-baik manusia yang dalam masa yang saya mampu mendidik manusia lain ke arah kebaikan.

Sampai sini sahaja dahulu. Kepada para naqib. Selamat mentarbiyyah. InsyaAllah tidak akan dikurangi pahala walaupun sedikit jika saudara ikhlas dan bersungguh dalam mendidik. Luangkan masa dalam mengkaji hadis-hadis nabi. Lihatlah betapa hebatnya nabi kita memberi pengajaran sehingga orang yang kurang daya fikirnya turut terkesan dengan didikan baginda.

AU3, Hulu Klang

Friday, September 9, 2011

Promo '50 Aktiviti dan Permainan Islami (Kumpulan Kecil)'

Usrah lebih menyeronokkan dengan '50 Aktiviti dan Permainan Islami (Kumpulan Kecil)'.

Berharga RM10 sahaja. Berminat sila e-mel yusryyusopp@gmail.com.

Wednesday, September 7, 2011

12 Tip untuk Nuqaba'

1. Beri komitmen sekurang-kurangnya satu tahun dengan anak usrah.

2. Tunjukkan kepada anak usrah kita adalah seorang yang konsisten, boleh dijadikan rujukan dan boleh dipercayai.

3. Konsisten dalam menunjukkan sikap dan kata-kata kita bagi mendapatkan kepercayaan anak usrah.

4. Jelas dengan objektif pentarbiyahan, bagi melahirkan pelapis yang akan meneruskan kesinambungan dakwah dan tarbiyyah.

5. Pastikan kita mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh organisasi yang menjadi naungan usrah kita.

6. Usrah bukanlah tempat berceramah, ia adalah medium perkongsian ilmu yang mana naqib dan anak usrah saling bertukar ilmu dan pendapat. Naqib perlu berlapang dada andaikata anak usrah tidak bersetuju dengan pendapat. Perbincangn perlu dikendalikan dengan harmoni.

7. Kurangkan bercakap, banyakkan mendengar. Anak usrah kita tidak akan segan berkongsi. Banyak bercakap seolah-olah menunjukkan kita seorang yang terpesona pada diri. Bercakap dengan anak usrah seolah-olah kita berminat untuk mengetahui banyak tentang dirinya.

8. Jangan bertanya soalan berkaitan keluarga jika anak usrah kita, berat untuk berkongsi tentang keluarganya. Hormati ruang peribadi orang lain.

9. Jadikan diri kita sebagai contoh ikutan (role model) yang positif kepada anak usrah kita.

10. Kekalkan keceriaan dan sikap positif kita kepada anak usrah setiap masa. Jika kita berada dalam mood atau situasi yang kurang sesuai. Tangguhkan usrah, jangan tinggalkan beban emosi kepada anak usrah kerana masalah kita yang mungkin akan mengganggu kelancaran usrah.

11. Usrah bukan hanya tempat belajar ilmu, ia juga tempat yang baik bagi menyemai sifat kesukarelawanan. Libatkan anak usrah dalam aktiviti sukarelawan seperti membersihkan surau, tuisyen percuma, fasilitator NGO atau pelbagai lagi aktiviti yang sudah tentu kamu dapat fikirkan. Ini akan merapatkan ukhuwah dan menyemai sifat berkorban anak-anak usrah.

12. Jadilah seorang yang menasihati, bukan meleteri.