Tuesday, September 20, 2011

Bagaimana Berfikir Strategik dalam Perancangan Tarbiyyah

Usrah, bukanlah satu aktiviti kecil yang memberikan impak yang biasa-biasa. Saya boleh mengatakan usrah adalah aktiviti kecil yang menanam impak yang besar, malah mungkin mempengaruhi hidup seseorang. Boleh jadi seseorang yang datang usrah atas tujuan bersuka-suka pada awalnya. Akhirnya membuat keputusan yang paling penting, meluruskan semula objektif hidupnya. Tetap teguh dalam perjuangan Islam.

Naqib yang menerima amanah menjaga anak-anak usrah. Jangan hanya melihatnya sebagai amanah tahunan. Ia perlu dilihat sebagai amanah yang berterusan. Dalam memastikan amanah ini berjalan dengan lancar, pemikiran strategik amat diperlukan. Bukan kerana apa, jika pihak kuffar menjalankan agendanya dengan cukup tersusun dan strategik. Kita perlu lebih lagi, dalam memastikan kelansungan perjungan islam tidak terputus, akibat kepupusan aktivis dakwah.

Saya sertakan di bawah soalan-soalan yang mungkin mampu menjentik minda kita bagi berfikir lebih besar. Semoga ia bermanfaat. Bermanfaat dalam menjadikan kita berfikir besar, berfikir hebat dalam tarbiyyah kita. Selamat mencuba!

Bob Biehl, penulis buku Masterplanning menulis soalan-soalan bagi memaksa kita melakukan proses pemikiran strategik.
  • Halatuju: Apakah yang patut kita lakukan seterusnya? Mengapa?
  • Organisasi: Siapakah yang bertanggungjawab kepada apa? Siapakah yang menjawab kepada siapa? Adakah kita memiliki orang yang betul di semua tempat yang betul?
  • Wang: Apakah anggaran pendapatan dan kos kasar dan bersih? Adakah kita mampu membayarnya? Bagaimanakah kita dapat membiyainya?
  • Tracking: Adakah kita mampu mencapai sasaran?
  • Overall Evaluation: Adakah kita berjaya mencapai kualiti dimahukan?
  • Refinement: Bagaimanakah kita dapat menjadi lebih efektif dan efisien?

Kreativiti dalam Tarbiyyah

Sifat Orang Berfikiran Kreatif
  • Orang kreatif menghargai idea
  • Orang kreatif suka memiliki pilihan
  • Orang kreatif suka akan ketidakpastian
  • Orang kreatif meraikan yang aneh
  • Orang kreatif mampu menghubungkan perkara tidak berkaitan
  • Orang kreatif tidak takut gagal

Tuesday, September 13, 2011

Ulasan Buku Cadangan Usrah: Make Today Count


Mengurus Keutamaan (Prioriti)

John C. Maxwell, dalam bukunya 'Make Today Count' menceritakan mengenai prioriti (menetapkan keutamaan). Beliau menceritakan satu pengalaman 'lucu' pada saat awal beliau mahu mengamalkan sikap mengutamakan yang utama.

Katanya, isteri beliau meminta tolong untuk memotong rumput di halaman rumah mereka, namun beliau mempersoalkan, "Margaret, saya tidak mahu membuang masa saya dengan perkara seperti itu. Saya mahu memfokuskan tenaga saya. Kita boleh mengupah orang lain bagi melakukannya."

Lantas Margaret menjawab, "Kita mahu upah dengan apa?"

Akhirnya mereka berdua juga bersama-sama membersihkan halaman rumah itu.

Namun kata beliau, semenjak hari itu, beliau sentiasa berusaha untuk memfokus pada perkara-perkara yang penting sahaja tanpa terganggu dengan perkara-perkara yang remeh.

Kata beliau, kita perlu utamakan yang utama dan menyerahkan hal-hal lain kepada orang lain (delegasi tugas), agar kita dapat mencapai sesuatu sasaran dan melaksanakan tugas dengan lebih optimum. Maksudnya, kita akan lebih fokus.

Buku ini boleh dibeli di mana-mana kedai buku utama, terbitan PTS Pro, iaitu versi terjemahan Bahasa Melayu. Buku ini ringkas tetapi padat. Ia mengenai 12 lapangan perkara (bidang) yang perlu kita titik beratkan dalam hidup, iaitu:

1. Sikap
2. Prioriti
3. Kesihatan
4. Keluarga
5. Berfikir
6. Komitmen
7. Kewangan
8. Agama
9. Persahabatan
10. Kebajikan
11. Prinsip-Prinsip
12. Perkembangan Peribadi

Pada permulaan buku ini, penulis memberikan sebuah formula berikut:

Keputusan yang tepat + Disiplin Harian = Hasil potensi yang hebat

P/S: Saya doakan penterjemah buku ini iaitu Allahyarham Adlie Syamsudin, ditempatkan bersama orang-orang soleh di alam sana. Setiap huruf yang saya baca, semoga pahala untuknya di sana. Amiinnn..


- Mohd Zulfadli - Pengulas buku ini boleh dihubungi di https://www.facebook.com/mohdzulfadli

Berlemah Lembutlah dalam Dakwah Kita.


Seorang mendatangi Ma'mun dan Ma'mun adalah seorang khalifah yang cerdas dan paling cerdik pada zamannya, akan tetapi dia mengatakan Al-Qur'an adalah makhluk, dan Allah akan menghitungnya.

Orang tersebut berkata: "Wahai Amirul Mukminin, sesungguhnya aku ingin memberi nasihat, akan tetapi aku akan bersikap keras kepadamu! Ma'mun menjawab: "Demi Allah, aku tidak akan mendengar mu, demi Allah aku tidak akan mendengar mu, demi Allah aku tidak akan mendengar mu." Orang itu berkata lagi, "Mengapa?" Khalifah menjawab: "Allah telah mengirimkan orang yang lebih baik dari mu kepada orang yang lebih buruk dari ku."
Allah s.w.t berfirman: "Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan ia ingat atau takut." (Thaha: 44)

Saya sungguh kagum kepada sahabat-sahabat yang cukup bersemangat dalam islah dan dakwah yang mereka lakukan. Tidak lain dan tidak bukan, ia adalah kerana kesedaran sahabat-sahabat untuk memastikan tiada setiap inci bumi yang sunyi daripada dakwah kepada agama ALLAH ini. Ada sesetengahnya yang berdakwah secara lemah lembut dan ada juga yang berdakwah dengan tangan itu lebih cepat daripada kata-kata.

Dakwah adalah satu seni yang memerlukan kita menggunakan apa sahaja di sekeliling kita lalu dicorak penyampaian agar dapat membantu dalam menyentuh hati manusia-manusia yang kita dakwah. Seni dakwah setiap orang cukup berbeza. Namun pada pandangan saya yang sebaik-baiknya apabila kita memulakan dakwah kita kepada seseorang maka lemah-lembut adalah kaedah yang terbaik. Yang mana kita mendekati orang yang kita ingin dakwahkan dengan senyuman yang cukup manis.

Saya tertarik dengan satu kata-kata "Senyuman adalah sihir", jika senyuman diberi dengan penuh keikhlasan, manalah tahu ia mencairkan hati-hati yang jauh dari Allah lalu membawanya pulang kembali ke jalan kebenaran.

Terdapat di kalangan mereka yang kasar di dalam dakwah mereka, kononnya kerana jika hati itu tidak diketuk dengan keras atau tangan tidak sampai dulu ke muka, maka mereka-mereka yang jauh dari agama Allah ini tidak akan sedar. Lebih-lebih lagi kepada golongan pemerintah yang jauh dari agama Allah. Mungkin betul pada satu sudut.

Lalu, saya kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah untuk melihat bagaimana Rasul-Rasul terdahulu berdakwah. Mungkin ada cara dakwah yang keras boleh saya gunakan dalam dakwah saya. Namun, tidak saya temui kisah yang menunjukkan Rasul-rasul dan Muhammad sendiri bersikap keras kepada orang yang didakwah selagi mana mereka tidak menghalangi jalan dakwah. Yang saya kerap temui adalah, Rasulullah selalu menahan sahabat-sahabat dari melakukan kekerasan kepada orang yang didakwah.

Wahai sahabat-sahabatku yang sama-sama terlibat dalam usaha dakwah dan islah. Saya ingin menyeru agar kita sama-sama dapat melenturkan lagi kaedah kita berdakwah. Bersikap baiklah kepada orang yang kita dakwah. Memang kita akan teruji dengan karektor-karektor yang menyakitkan hati kita. Tetapi, Muhamad Rasulullah lebih dasyat lagi menerima ujian yang pelbagai.

Tetapi, kita termasuklah penulis blog ini pun kadangkala tidak sabar dalam usaha dakwah yang dilakukan. Mungkin kerana darah muda. Namun kita sebagai pendakwah perlulah selalu mengkoreksi diri agar kita-kita dapat memperbaiki diri dan skill dakwah kita. Yang lebih penting, janganlah lupa mendoakan mereka, janganlah mengumpat mereka, tetapi mintalah pendakwah lain juga bersama-sama mendoakan. Semoga, dengan izin Allah orang itu akan berubah dan menjadi lebih baik dari kita dan lebih kencang dakwahnya.

Semoga penulisan yang penuh kekurangan ini dapat memberi manfaat kepada pembacanya, kerana ia sekadar cetusan rasa dari hamba Allah yang serba kekurangan ini. Sahabat-sahabat semua harap dapat doakan saya agar tetap kuat dan tahan dalam pelajaran yang saya lalui sekarang untuk menjadi seorang pendakwah. Kerana meminjam kata-kata pembaca blog saya, Chee Hong “saya Budak Baru Belajar”

Latihan meningkatkan esteem diri.

Kita sebagai naqib kadangkala terpaksa memainkan peranan sebagai motivator tidak bergaji. Sebagai manusia ada masanya kita akan diuji dengan pelbagai jenis ujian menyebabkan kita berasa tertekan atau esteem diri kita menjadi rendah. Hal ini tidak boleh kita biarkan. Sesuatu perlu kita lakukan agar esteem diri anak usrah kita sentiasa berada dalam tahap yang tertinggi.

Bagaimana kita boleh membantu dalam meningkatkan esteem diri anak-anak usrah di bawah tanggungjawab kita?

Dalam satu uji kaji, seramai 60 orang eksekutif mengikuti program latihan memahami keistemewaan dan pencapaian peribadi selama sebulan. Dalam program ini setiap hari, bagi beberapa minit sahaja, mereka digalakkan mencatatkan pencapaian mereka pada hari itu. Hasilnya, konsep diri mereka menjadi lebih positif.

Satu latihan meningkatkan esteem diri secara berkumpulan sudah dicipta dan kini popular dikalangan organisasi. Naqib perlu menerapkan juga latihan ini bagi memastikan usrah bukan lagi hanya satu kumpulan ilmu semata-mata. Malahan ia berperanan sebagai kumpulan sokongan esteem diri.

Latihan dilakukan begini:

Buat kumpulan antara 5 hingga 10 orang. Mula-mula setiap orang menulis senarai kelebihan dan keistimewaan diri masing-masing, kemudian masing-masing membacakan senarainya supaya didengar oleh anggota-anggota lain. Selepas itu, secara bergilir-gilir, setiap orang membincangkan apa yang dibacakan oleh orang lain sebagai cara memperkukuhkan lagi konsep diri anggota itu. Tetapi ada kalanya senarai itu tidak dipersetujui sepenuhnya.

Lakukan aktiviti ini dipermulaan atau dipenghujung usrah. Jika kumpulan usrah mampu menaikkan esteem diri anggotanya. Sudah tentu gejala ponteng usrah akan berkurangan. Insya-Allah.


Disesuaikan daripada maklumat daripada buku 11 Teori dan Prinsip Motivasi di Tempat Kerja.

Monday, September 12, 2011

Naqib sebagai satu amanah

Tugasan atau amanah yang kamu pikul ini bukanlah hanya memberikan ilmu semata-mata. Ia bukan juga hanya untuk menjadikan mereka insan yang baik lagi bersopan semata-mata. Kamu bukanlah perlu membetulkan kesalahan, mencari kesalahan atau membetulkan anak usrah dengan kasar. Tugas kamu adalah bagi memastikan menjadikan anak usrah lebih baik dari dirinya sebelum ini dan bermotivasi menarik orang lain turut sama berbuat kebaikan.

Menjadi Naqib menuntut diri anda menjadi seorang pendengar setia, pencabar diri mereka dan bersama-sama berkongsi satu pelajaran bermakna. Seorang Naqib yang baik adalah seorang yang positif, bersemangat, penyokong setia, boleh dipercayai, dihormati dan penyabar. Ia bukanlah bermaksud kamu mesra dengan mereka sehingga mereka boleh memijak kami atau bergurau secara keterlaluan dengan kamu. Kamu masih dihormati dan dijadikan contoh ikutan mereka.


Bagi memimpin adik-adik ini, kamu perlu memimpin mereka, melayan mereka dan memenuhi kehendak mereka. Ia bukan bermaksud anda perlu memberi wang kepada mereka, bahkan kamu memberikan mereka sesuatu yang tidak ternilai. Menanam aqidah yang benar kepada mereka, menjadikan mereka seronok beribadah, mengubah pandangan mereka agar selari dengan kerangka islam. Sesuatu yang tidak ternilai. Tidak dapat dinilai dengan apa sahaja yang lebih berharga.


Menjadi seorang yang suportif bermaksud lebih daripada sekadar memotivasikan atau menepuk belakang mereka. Sebagai naqib, tugas anda menyediakan satu ruang untuk menarik minat mereka belajar, mengkaji, berfikir, menganalisis dan melontarkan pandangan. Memberikan material yang berguna agar dapat membentuk kefahaman dan memberi ilmu kepada mereka.

Sistem Checklist: Memudahkan Fokus

Memasuki alam pekerjaan membuatkan kita mudah hilang fokus.Mungkin kita sedang mengusahakan sesuatu yang penting dan segera.

Namun, oleh kerana tidak fokus dan sering menerima atau menjemput gangguan maka kerja yang dibuat tidak dapat dibuat sehabis baik atau disiapkan.Bagi memudahkan kerja, saya mewajibkan sistem checklist ke atas diri saya.

Checklist yang disediakan memerlukan kita bermula dengan matlamat besar yang ingin kita capai.
Checklist bukanlah satu sistem yang terus difikirkan dan disenaraikan.

Lalu aktiviti-aktiviti kecil itu disusun dalam jadual bulanan atau mingguan. Matlamat itu dipecahkan kepada siri-siri aktiviti kecil yang perlu dibuat bagi memastikan apa yang dirancang menjadi kenyataan.

Jadi checklist yang saya lakukan hari ini, bukanlah checlist yang bersifat segera dan penting sahaja, malahan saya turut melakukan perkara yang tidak segera dan penting.

Ini bagi mengelakkan berlakunya, kesesakan di saat akhir atau last minute.

Melakukan perkara ini memerlukan kesabaran dan ketelitian. Bagi memastikan apa dirancang menjadi kenyataan.